Saturday, 26 September 2026

Hp Menguasi Diri ?

𝗔𝗣𝗔𝗕𝗜𝗟𝗔 𝗧𝗘𝗟𝗘𝗙𝗢𝗡 𝗠𝗨𝗟𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗨𝗔𝗦𝗔𝗜 𝗛𝗔𝗧𝗜


Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa telefon yang pada asalnya hanyalah alat untuk memudahkan urusan, perlahan-lahan boleh menjadi sesuatu yang terlalu dekat dengan hati. Kita membawanya ke mana-mana, memegangnya hampir setiap masa, malah ada ketika kita lebih rindu untuk melihat skrin telefon daripada mendekatkan diri kepada Allah.

Manalah org tak tercabar pengaruh hp mcm  ni. ? 👆

Antara tanda bahawa telefon sudah mula mengambil tempat yang sepatutnya diisi oleh perkara yang lebih utama dalam hati ialah apabila setiap kali selesai solat, perkara pertama yang kita cari ialah telefon. Seolah-olah hati tidak sabar untuk kembali melihat skrin, membuka media sosial, membaca mesej atau melihat apa yang sedang berlaku di alam maya.

Lebih membimbangkan apabila membaca al-Quran sudah tidak lagi memberikan rasa ghairah seperti dahulu. Kita boleh menghabiskan masa yang panjang menatal telefon, tetapi beberapa minit membaca al-Quran terasa berat. Kita sanggup membaca pelbagai perkara di skrin, tetapi hati tidak lagi begitu teruja untuk membaca kalam Allah.

Apabila bangun daripada tidur pula, tangan terus mencapai telefon sebelum sempat mengingati Allah. Bahkan ada ketika waktu Tahajjud dilengahkan kerana kita masih leka melayan telefon. Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita bahawa ketenangan dan kerehatan hati itu dekat dengan solat. Baginda bersabda, “Wahai Bilal, dirikanlah solat, dan rehatkanlah kami dengannya.” Namun hari ini, ada antara kita yang apabila ingin berehat, perkara pertama yang dicari ialah telefon.

Telefon juga mula mengganggu waktu tidur. Kita berniat untuk tidur awal, tetapi akhirnya terus menatal tanpa sedar masa berlalu. Satu video membawa kepada video yang lain, satu mesej membawa kepada perbualan yang panjang, sehingga waktu tidur terganggu dan tubuh tidak mendapat rehat yang mencukupi.

Lebih menyedihkan apabila solat sendiri mula dilengahkan kerana sikap “nanti-nanti”. Kita leka dengan telefon sehingga azan sudah berkumandang, tetapi masih berkata dalam hati, “Sekejap lagi.” Akhirnya, masa berlalu dan solat pula dilakukan di penghujung waktu.

Apabila telefon sudah terlalu menguasai hati, hampir setiap perbuatan kita disertai dengan keinginan untuk memeriksa telefon. Sedang makan, telefon di tangan. Sedang berehat, telefon di tangan. Sedang menunggu, telefon di tangan. Bahkan ketika bersama orang yang kita sayangi pun perhatian kita masih tertumpu kepada skrin.

Anak-anak bercakap dengan kita, tetapi kita tidak benar-benar mendengar. Mereka mungkin sedang bercerita tentang sesuatu yang bagi mereka sangat penting, tetapi kita hanya mengangguk sambil mata terus terpaku pada telefon. Tetamu datang berkunjung pun kita masih sibuk melayan telefon sehingga adab dan kemesraan bersama tetamu semakin hilang.

Lebih menyedihkan apabila ibu dan ayah datang menziarahi kita, tetapi kita masih tidak mampu meletakkan telefon untuk memberikan perhatian kepada mereka. Sedangkan ibu dan ayah mungkin tidak meminta apa-apa daripada kita selain sedikit masa, perhatian dan kasih sayang.

Dalam kehidupan suami isteri juga, telefon boleh menjadi penghalang yang sangat halus. Bayangkan seorang suami atau isteri sedang bercakap dengan pasangannya, tetapi pasangannya hanya berpura-pura mendengar. Mulut menjawab sekadar “hmm”, “ya” atau “baik”, tetapi tangan masih sibuk menaip dan mata masih tertumpu pada telefon. Akhirnya, pasangan bercakap seorang diri sehingga tertidur kerana merasakan dirinya tidak benar-benar didengari.

Begitu juga apabila anak meminta susu atau memerlukan perhatian. Ada kalanya anak menunggu sehingga akhirnya tertidur, sedangkan kita tidak menyedarinya kerana terlalu asyik dengan telefon. Saat yang sepatutnya menjadi kenangan indah bersama anak berlalu begitu sahaja.

Dan yang paling menyedihkan, apabila azan berkumandang, hati kita tidak lagi begitu terkesan. Kita mendengar panggilan Allah, tetapi tangan masih memegang telefon dan mata masih terpaku pada skrin. Seolah-olah panggilan daripada telefon lebih mampu menarik perhatian kita daripada panggilan Allah SWT.

Astaghfirullah.

Jika ada tanda-tanda seperti ini dalam diri kita, jangan terus menyalahkan orang lain. Duduklah seketika dan tanyakan kepada diri sendiri: Di manakah sebenarnya hati kita?

Adakah telefon sekadar berada di tangan, atau sebenarnya sudah mula berada di dalam hati?

Telefon itu sendiri bukanlah musuh. Ia hanyalah alat. Yang perlu kita takutkan ialah apabila alat itu mula menguasai masa, perhatian, fikiran dan hati kita sehingga hubungan dengan Allah, al-Quran, solat, ibu bapa, pasangan, anak-anak dan manusia di sekeliling semakin terabai.

Maka, marilah kita bermuhasabah. Perbanyakkan istighfar, susun semula kehidupan dan tetapkan jadual penggunaan telefon. Belajarlah meletakkan telefon ketika solat, ketika membaca al-Quran, ketika bersama ibu bapa, ketika melayan tetamu, ketika berbual dengan pasangan dan ketika anak-anak memerlukan perhatian kita.

Jangan sampai suatu hari nanti kita mempunyai ribuan kenalan di alam maya, tetapi kehilangan hubungan dengan orang yang benar-benar menyayangi kita di dunia nyata.

Jangan sampai telefon sentiasa berada di tangan, tetapi al-Quran semakin jauh daripada hati.

Dan jangan sampai kita begitu cepat menyahut setiap bunyi notifikasi telefon, tetapi lambat menyahut panggilan Allah.

Semoga Allah SWT membersihkan hati kita daripada segala sesuatu yang melalaikan, memberikan kita kekuatan untuk mengawal penggunaan telefon dan tidak membiarkan dunia berada di dalam hati kita.

Semoga Allah memelihara kita daripada fitnah akhir zaman, menjaga hati kita agar sentiasa dekat dengan-Nya dan menjadikan masa yang kita miliki sebagai jalan untuk mendapatkan keredaan-Nya.

𝗞𝗿𝗲𝗱𝗶𝘁 & 𝗽𝗲𝗻𝗴𝗵𝗮𝗿𝗴𝗮𝗮𝗻:

Olahan daripada tulisan asal 𝐍𝐨𝐨𝐫 𝐄𝐥 𝐙𝐚𝐲𝐧. 

Kredit dan penghargaan kepada tuan empunya tulisan. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.

— 𝑱𝒆𝒋𝒂𝒌 𝑺𝒖𝒇𝒊 —

Sumber - Wsp group... 

 *****************

Ulasan KU

HP satu keperluan masa kini seperti rmh ,kereta dll

Setiap benda ada sisi baik Dan buruknya

Yg penting setiap benda perlu ada - etika Dan kawalan utk guna supaya kurang kesan negatif.

Tanpa kawalan apa saje gadget atau alat akn dtgkan kesan negatif.

Bagi hp , beberapa etika utk elak kesan negatif

* Guna Bila perlu utk kerja ,niaga , urusan keluarga.

* Nilai atau kenal pasti  info yg berguna dlm hp...yg tak guna perlu ada kekuatan Diri utk jauhkan.

Bersambug ...heee. 😄

No comments:

Post a Comment

Hp Menguasi Diri ?

𝗔𝗣𝗔𝗕𝗜𝗟𝗔 𝗧𝗘𝗟𝗘𝗙𝗢𝗡 𝗠𝗨𝗟𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗨𝗔𝗦𝗔𝗜 𝗛𝗔𝗧𝗜 Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa telefon yang pada asalnya hanyalah ...